Ujian tingkatkan kematangan..tiada manusia yang tidak diuji dengan tekanan. sama ada di rumah, pejabat atau keluarga, tekanan tetap ada. Malah tekanan dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan dan hidup manusia.
Bagaimanapun Rasulullah memberikan penawar untuk berdepan tekanan seperti sabda baginda yang bermaksud "sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut."
Ingatlah bahawa ujian selalu seiring dengan perjuangan. Oleh itu, ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaran-Nya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.
Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafik yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah.
Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana mengeluh akan membuatkan, melemahkan semangat dan menerbitkan rasa kecewa serta putus asa sedangkan Allah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan".
Yang penting, sering disematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.
Friday, December 22, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment